Pelan kebangsaan menetapkan hala tuju negara dalam pertumbuhan digital



​​

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 Jun. - Majlis Digital Brunei dengan sukacitanya mengumumkan Digital Brunei 2030 : The Digital Brunei Transformation Plan, iaitu pelan kebangsaan yang menetapkan hala tuju negara dalam pertumbuhan digital sehingga tahun 2030.


Pelan induk berkenaan yang disediakan dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertemakan 'Bersama Ke arah Digital Brunei' (Together Towards a Digital Brunei) menandakan fasa seterusnya dalam perjalanan digital negara.


Pelan berkenaan berhasrat untuk memanfaatkan landasan digital yang telah dibina melalui Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 sebelum ini sebagai sokongan kepada aspirasi Wawasan Brunei 2035.


Digital Brunei 2030 merangkumi empat strategi, iaitu Strategi Kerajaan Digital (Government Strategy); Strategi Masyarakat Digital (Digital Society Strategy); Strategi Perniagaan Digital (Digital Business Strategy); serta strategi merentas sektor Strategi Data dan Kecerdasan Buatan (Data and Artificial Intelligence Strategy).


Rangka kerja baharu berkenaan dibangunkan melalui proses konsultatif, termasuk Bengkel Transformasi Digital Brunei yang diadakan pada 25 Ogos 2025 yang menghimpunkan wakil-wakil kementerian dan agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor industri dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat yang memainkan peranan penting dalam pembangunan digital negara.


Pelan induk yang baharu berkenaan mencerminkan peralihan Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk memastikan pelaburan digital yang lebih menghasilkan impak yang nyata dan mampan kepada ekonomi, kerajaan dan masyarakat.


Ia menekankan penyelarasan antara kementerian dan agensi, di antara sektor awam dan swasta, serta di antara hasrat dasar dan pelaksanaannya bagi meningkatkan keselarasan, meningkatkan kecekapan, dan memastikan inisiatif digital saling mengukuhkan dan tidak bertindih antara satu sama lain.


Penyediaan pelan berkenaan bertepatan pada masa asas digital NBD telah pun terbentuk dengan kukuh. Pada dekad yang lalu, NBD telah pun memasang sepanjang 6,000 kilometer 'fibre optic cable', memperluaskan liputan mudah alih daripada 80 peratus kepada 96 peratus, dan menyediakan rangkaian 5G di seluruh negara.


BruneiID yang dilancarkan pada Januari 2026 telah mula membolehkan akses kepada perkhidmatan kerajaan menerusi satu log masuk tunggal yang selamat, manakala hab pembayaran digital 'Tarus' terus memproses transaksi sejak beroperasi pada Mac 2025.


Ketersambungan kini bukan lagi menjadi kekangan kepada aspirasi kemajuan negara, malah ia merupakan satu aset nasional. Rakyat NBD juga telah membuktikan keupayaan serta keyakinan untuk memanfaatkan apa yang dirancang seterusnya.


Digital Brunei 2030 akan direalisasikan menerusi pelaksanaan beberapa projek kebangsaan sehingga 2030. Ini termasuklah Gov.BN SuperApp and Citizen Portal, National Business Services Portal, peningkatan pelaksanaan BruneiID dan Digital Payments, pembangunan AI-Capable Data Centre, pelaksanaan National Sovereign Cloud dengan keupayaan pengkomputeran AI, serta sebuah National Large Language Model yang berasaskan konteks NBD.


Pengerusi Bersama Majlis Digital Brunei, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha telah menegaskan bahawa fasa seterusnya lebih fokus kepada impak dan hasil yang dirasai dan bukan sekadar penyediaan prasarana.


Transformasi digital di bawah pelan induk yang baharu berkenaan perlu menyumbang kepada peningkatan produktiviti, kos transaksi yang lebih rendah, kualiti perkhidmatan yang lebih baik, dan persekitaran yang lebih kondusif kepada perusahaan dan pelaburan, di samping menyokong kemampanan fiskal. Ini boleh dicapai menerusi kebolehoperasian serta pelaburan berdisiplin dalam asas digital yang dikongsi bersama.


Transformasi yang berimpak memerlukan lebih daripada sekadar teknologi. Ia menuntut tadbir urus yang kukuh, institusi yang berkeupayaan, dan komitmen yang berterusan terhadap pelaksanaan dalam kerjasama yang erat bersama industri dan penglibatan orang ramai.


Majlis Digital Brunei, yang dinamakan semula daripada Majlis Ekonomi Digital pada Ogos 2024 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menyelia pelaksanaan Digital Brunei 2030 dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, pihak industri, dan rakan-rakan pelaksana bermula dengan dialog Digital Brunei 2030 yang akan diadakan pada 4 Jun 2026.


Sertailah perjalanan 'kitani' ke arah Digital Brunei (Together Towards a Digital Brunei).


Untuk maklumat lanjut mengenai Digital Brunei 2030 dan untuk mendapatkan dokumen pelan induk yang lengkap, sila layari laman sesawang 'www.digitalbrunei.bn'.


Close